SARIKEI: Perjalanan darat dari daerah ini ke Tanjung Manis dan Matu-Daro akan lebih cepat sejurus Jambatan Batang Rajang Jalan Pasi-Meradong dibuka kepada orang awam pertengahan Mac 2025.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan tersebut akan menjadi mercu tanda baharu dan penghubung utama bagi penduduk pesisir pantai Sarawak pada masa hadapan.
“Ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak atas keprihatinan dalam memperkukuhkan rangkaian jalan raya pesisir,” katanya pada Majlis Peletakan Bongkah Terakhir penyambung Jambatan Batang Rajang di sini, hari ini.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menegaskan, jambatan itu juga secara tidak langsung merancakkan pertumbuhan ekonomi penduduk dengan siapnya jaringan jalan raya itu kelak.
"Ia membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan yang diperlukan oleh penduduk.
"Selain itu dengan siapnya jambatan ini kelak akan menjimatkan masa perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis daripada dua jam setengah ke 40 minit perjalanan sehala," katanya kepada media selepas majlis tersebut.
Jambatan Batang Rajang sepanjang 1.4 kilometer (km) dan jalan raya sepanjang 17 km itu dijangka dibuka kepada orang ramai pertengahan Mac 2025.
Katanya lagi, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak komited memastikan setiap projek yang dilaksanakan mengikut perancangan dan spesifikasi yang ditetapkan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Penasihat di Pejabat Premier (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datu Chiew Chee Yau, mewakili Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dato Sri Huang Tiong Sii, Kapitan Ling Dien Yong dan Residen Bahagian Sarikei, Datu Micheal Ronnie Langgong.